Friday, April 3, 2009

13 tahanan ISA dibebaskan - Najib



10 jam selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 6, YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini mengumumkan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA dibebaskan serta merta.

Beliau membuat pengumuman itu dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen kerajaan dan swasta, sebentar tadi, kira kira 8.20 malam.

Butiran lanjut mengenai siapa di kalangan 13 tahanan ISA yang dibebaskan itu akan diumumkan kelak.

Namun, Menteri Dalam Negeri Datuk Syed Hamid Albar sebentar tadi memberitahu stesen televisyen TV3, 13 tahanan yang dibebaskan itu terdiri 2 daripada Hindraf, 3 rakyat asing yang memalsukan dokumen dan 8 tahanan Darul Islamiah.

Dalam ucapannya juga, Datuk Seri Najib turut mengumumkan proses kajian semula ISA, akan turut dilakukan.

Beliau turut mengumumkan kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar.

Dua akhbar itu ialah Harakah, lidah rasmi PAS dan Suara Keadilan.

24 Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan.

Menurut laporan media, penggantungan adalah disebabkan kedua-dua penerbitan itu melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 dengan menyiarkan laporan yang memutar belit fakta, mengelirukan maklumat serta cuba untuk menyuntik perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan dan pemimpin.

Kedua-dua penerbitan terbabit dilaporkan turut melanggar syarat permit iaitu mesti dijual di kawasan markas dan pejabat parti sahaja, dan bukannya kepada orang awam.

Pada masa sama, kandungan kedua-dua penerbitan tidak mengikut konsep sebenar iaitu sepatutnya melaporkan berita dan isu berkaitan hal ehwal dalam parti mereka sahaja.

Di samping itu, penggantungan Suara Keadilan turut disebabkan kedegilan memenuhi syarat permit iaitu mengemukakan lapan naskhah kepada KDN bertujuan untuk penyemakan.

Adakah akan ada lagi pengumuman signifikan termasuk dalam usaha menangani krisis ekonomi di Malaysia, akan diumumkan Datuk Seri Najib selepas ini?

Sama samalah kita nantikan...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs