Monday, November 2, 2009

Mengapa bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ditahan JAIS?

(sumber gambar dan berita : mstar.com)


Dr Asri diiringi oleh polis ketika dibawa ke balai polis Hulu Kelang

Saya pun agak terkejut apabila membaca berita dan menonton berita TV mengenai bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

Saya tidak tahu apa sebab munasababnya. Namun jarang di Malaysia ni, seorang bekas Mufti diperlakukan sedemikian rupa.

Berita penuh dibawah seperti disiarkan mstar.com :

SUASANA sepi di sebuah rumah banglo di Lorong 2 C, Taman Sri Ukay menjadi kecoh malam tadi apabila bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ditahan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS).

Seramai 35 anggota JAIS telah datang ke premis tersebut dengan tiga buah van pada jam 9.45 malam. Kedatangan mereka diiringi lebih 25 orang polis beruniform dalam kereta patrol.

Pada ketika itu, Mohd Asri sedang memberi ceramah kepada lebih 300 orang jemaah di dalam kawasan banglo milik Tuan Hj Yahya itu.

Ceramah agama yang bermula pada jam 8 malam itu terpaksa dihentikan setelah pegawai JAIS datang menyerbu.

Alasan yang diberikan oleh pihak JAIS ialah mereka menerima aduan dan terpaksa membuat penangkapan kerana Mohd Asri memberi ceramah tanpa tauliah.

Menurut anak tuan rumah, Norman Yahya, pegawai penguatkuasa JAIS telah memasuki banglo kira-kira jam 9.30 malam.


Dr Asri di bawa keluar dari banglo di Taman Sri Ukays

"Pada jam 9.30 ketika kuliah sedang berlangsung, pegawai JAIS memaklumkan kehadiran mereka adalah untuk menahan Dr Asri kerana memberikan ceramah tanpa tauliah," kata Norman.

Sementara itu, beberapa jemaah yang ditemui berkata, pihak JAIS telah menunggu selama setengah jam di luar banglo sebelum membuat serbuan.

Namun, seramai 50 orang jemaah bertindak menghalang penguatkuasa JAIS dan tidak membenarkan Dr Asri ditahan.

Untuk menenangkan keadaan, Mohd Asri telah ditempatkan di sebuah bilik di dalam banglo tersebut sementara proses perundingan dijalankan.

Senario menjadi sedikit tegang apabila penyokong Mohd Asri tidak mahu berganjak dan berkawal di hadapan bilik Dr Asri dan tidak membenarkan pihak JAIS mahupun polis memasuki bilik bekas mufti itu.


Dr Asri kelihatan tenang, sedang dibawa ke balai polis Ulu Kelang

Sejurus selepas itu, kelihatan Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS Hulu Kelang, Saari Sungip mengadakan perundingan bersama tiga orang peguam dan pihak JAIS dan polis.

Kesemua mereka bertanya kepada JAIS atas alasan apa Dr Asri hendak ditahan. Dan jawapan yang diberikan oleh Ustaz Sharom Maarof, Pegawai Penguatkuasa Agama, dengan nada yang keras, "Dia tidak ada tauliah untuk memberi ceramah..."

Sharom juga kelihatan begitu agresif untuk memasuki bilik Mohd Asri.

"Siapa yang halang kita buat tangkapan, kita akan tangkap juga," kata Sharom.

Ketika ini, tiga orang peguam terpaksa menjadi orang tengah dan berbincang dengan pihak polis dan JAIS namun pihak JAIS enggan meninggalkan premis tersebut dan berkeras ingin membuat penangkapan juga.

Suasana berterusan menjadi tegang bila beberapa pegawai JAIS dan polis mengugut untuk menggunakan kekerasan seandainya penyokong-penyokong Dr Asri berkeras tidak mahu melepaskan Mohd Asri.

Pihak polis juga telah mengarahkan pihak media dan mereka yang tidak berkenaan untuk mengosongkan rumah.

Setelah keadaan berlarutan hingga 3 jam, Mohd Asri akhirnya dibawa keluar dari biliknya dengan diiringi oleh beberapa orang polis dan pegawai JAIS untuk dibawa ke balai Polis Hulu Klang untuk diambil keterangan.

Mohd Asri terus dibawa ke balai polis menaiki sebuah van tepat jam 12 tengah malam. Hanya peguam sahaja dibenarkan memasuki kawasan balai polis sementara pihak media dan penyokong Mohd Asri terpaksa menanti dengan setia di luar kawasan balai.


Pihak media menanti dengan setia di luar kawasan balai polis Ulu Kelang ketika Dr Asri dibawa masuk untuk diambil keterangannya

Setelah hampir 1 jam, Mohd Asri dibebaskan tanpa diambil apa-apa keterangan.

Namun kelibat pegawai JAIS dan van JAIS yang membawa Dr Asri ke balai polis langsung tidak kelihatan pada ketika itu. Dr Asri kemudiannya dibawa balik ke rumah Hj Yahya untuk sebuah sidang akhbar.

Mohd Asri telah diarahkan untuk menghadirkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, pada hari ini, jam 9 pagi untuk diambil keterangannya.

(Update berita seterusnya - Dr Mohd Asri di Mahkamah Rendah Syariah Gombak)

sumber : mstar online

Bekas Mufti Perlis anggap diri disabotaj JAIS

Oleh ZIEMAN dan SITI AZIRA ABD AZIZ



Dr Asri dikerumuni media di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak sebentar tadi

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr.Mohd Asri menganggap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang membuatkan beliau menunggu selama lebih sejam di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini, adalah sebagai satu sabotaj.

Sehingga pukul 10 pagi, pihak JAIS tidak hadir ke mahkamah, sedangkan Mohd Asri tiba sejak pukul 9 pagi seperti yang diarahkan JAIS.

"Mereka tangkap saya dulu baru tuduh. Tetapi mahkamah kata belum ada apa-apa pertuduhan lagi. Saya pun tak tahu sebab apa nak datang sini


Dr Asri tetap menanti kemunculan pegawai-pegawai JAIS

"Pihak JAIS yang bagi arahan, tetapi saya nak tahu 'tangan ghaib' siapa disebaliknya," kata Mohd Asri.

Terdahulu, lebih 100 individu memenuhi perkarangan mahkamah sejak pukul 9 pagi tadi untuk memberi sokongan terhadap beliau yang hadir untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan dipercayai mengajar ilmu agama tanpa tauliah.


Ramai penyokong-penyokong Dr Asri yang terdiri dari wakil-wakil NGO dan peguam datang memberi sokongan moral


Antara yang hadir ialah Datin Paduka Marina Mahathir, Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Azman Shafawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib, Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin dan pengasas Sisters In Islam (SIS), Zainah Anwar.

Turut kelihatan ialah wakil kepada Senator Datuk Jamil Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, wakil-wakil Umno, PAS dan PKR; serta enam orang peguam dari pelbagai firma guaman.


Dr Asri mempamerkan surat yang dikeluarkan oleh JAIS yang mengarahkannya hadir ke pejabat agama Gombak pagi ini

Mohd Asri ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tengah malam tadi, namun dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika Mohd Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Sementara itu, Thalia Rohaina Abdul Latif yang merupakan salah seorang peguam yang hadir di pejabat agama tersebut berkata, perkara ini tidak sepatutnya terjadi dan JAIS sepatutnya membuat siasatan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penahanan.

"Mereka (JAIS) datang menyerbu beliau di premis rakannya dan pada waktu itu beliau sedang menikmati makan malam, dan bukannya sedang memberikan ceramah seperti yang didakwa.

"JAIS sepatutnya siasat dulu sebelum membuat tuduhan," katanya.

Penyokong-penyokong Mohd Asri juga menganggap isu tidak bertauliah bukanlah alasan yang logik kerana beliau merupakan bekas mufti dan mempunyai kelayakan dalam ilmu hadis.

Menurut Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, beliau turut tidak berpuas hati apabila pihak JAIS turut mengaitkan Mohd Asri mengamalkan fahaman Wahabi.

Mohd Asri bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

"Itu hanya fahaman rekaan mereka," jelasnya yang turut diwakili oleh peguam Zulkifli Che Yong, Azmi Mohd Rais dan beberapa peguam pemerhati dari mahkamah sivil.

Dalam pada itu, Datin Paduka Marina Mahathir akui, beliau pernah mengikuti syarahan dan menyokong penuh bekas mufti itu.

"Beliau kena aniaya kerana tuduhan itu tidak berasas. Beliau adalah seorang mufti, takkanlah tidak bertauliah?

"Kalau dikatakan mengamalkan fahaman Wahabi, mereka faham kah makna Wahabi itu? Mereka kena faham terlebih dahulu, barulah buat tuduhan," kata Marina dalam nada marah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs