Sunday, February 6, 2011

Pengerusi Perhubungan PKR Sabah, Pajudin Nordin keluar PKR dan sertai UMNO


Pajudin (kiri) bersalaman dengan Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya, Kota Kinabalu, Sabtu 5 Feb 2011

Politik Sabah memang sukar diramal dan pasti ada saja perkara luar dugaan yang berlaku.

Jam 6 petang Sabtu 5 Februari 2011, bertempat di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya, Kota Kinabalu, satu lagi kejutan berlaku dalam sejarah politik Negeri di Bawah Bayu itu.

Tidak sampai sebulan dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri Parti Keadilan Rakyat, PKR Sabah, Pajudin Nordin mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO.

Pengumuman yang menyaksikan PKR Sabah semakin parah itu dibuat dihadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini.


Menurut Pajudin keputusan itu dibuat selepas beliau hilang kepercayaan kepada kepimpinan PKR khususnya Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pajudin yang merupakan antara ahli terawal menyertai PKR di Sabah berkata, punca utamanya keluar parti itu disebabkan amat kecewa dengan kepimpinan Anwar yang gagal membela hak rakyat Sabah.

"Saya berasa kecewa dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah kerana mereka nampak memperbodohkan pemimpin-pemimpin PKR di negeri Sabah.

"Akibat daripada apa yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Presiden terhadap negeri Sabah ini maka saya menganggap PKR di Sabah sudah tidak relevan untuk kita jadikan sebagai satu parti masa hadapan atau parti yang akan menuju ke Putrajaya," katanya.

Pajuddin yang juga Naib Ketua Cabang Tuaran telah dipilih oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagi mengisi jawatan Pengerusi Perhubungan Negeri (PPN) Sabah, menggantikan Ahmad Thamrin Jaini pada 10 Januari lalu.

Sebelum dilantik ke jawatan itu lulusan Tahfiz ini pernah memegang jawatan Exco Angkatan Muda PKR Pusat dan Ketua Angkatan Muda PKR negeri.

Menurut Pajuddin beliau telah menyerahkan surat perletakan jawatan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan melalui faksimili kepada kepimpinan PKR Pusat petang tadi.
Dalam pada itu beliau berkata, semua ahli PKR Sabah semakin menyedari helah Anwar yang hanya pandai menabur janji kosong untuk mengutamakan hak rakyat Sabah tetapi bertindak sebaliknya.

Sehubungan itu katanya, lebih ramai lagi ahli PKR Sabah termasuk beberapa pemimpin cabang akan keluar daripada parti itu dalam tempoh terdekat.

Difahamkan Wan Azizah akan datang ke Sabah dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut PKR Sabah selepas beberapa cabang parti itu menolak pelantikan Pajudin baru-baru ini.

Ini pula kenyataan Datuk Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah mengenai tindakan keluar parti saudara Pajudin.

1. Hari ini adalah satu petanda bahawa PKR dan Pakatan Rakyat (PR) sudah tidak relevan lagi.

2. Satu demi satu pemimpin mereka keluar parti.

3. Terbukti Dato’ Seri Anwar hanya pandai menabur janji dan mempergunakan orang lain untuk kepentingan peribadi beliau iaitu menawan Putrajaya dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

4. Saya menyeru rakyat Sabah untuk menolak PKR dan Pakatan Rakyat yang nyata sebuah parti yang hanya memperbodoh-bodohkan rakyat Sabah.

5. Kemasukan saudara Pajudin Nordin ke dalam UMNO adalah atas kehendak beliau sendiri atas kesedaran bahawa hanya BN sahajalah yang mampu membela nasib rakyat dan negeri Sabah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs