Friday, February 18, 2011

S.K Ulu Lubai, Limbang, Sarawak - Permata dalam Belantara





Sumber : Utusan Malaysia

17 Februari 2011 menjadi detik bersejarah bagi sebuah sekolah pedalaman di Limbang, Sarawak apabila dikunjungi pemimpin nombor dua negara - Timbalan Perdana Menteri merangkap menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengapa Timbalan Perdana Menteri melawat sekolah berkenaan iaitu Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, nun jauh di Limbang, Sarawak??

Sekali imbas, SK Ulu Lubai hanyalah sebuah sekolah yang serba sederhana dari segi infrastruktur dengan bangunan kayu lama manakala satu-satunya binaan konkrit hanyalah tandas kegunaan murid dan guru.

Lokasinya terletak di tengah-tengah hutan belantara. Ia dihubungkan melalui jalan balak ataupun menggunakan bot panjang menyusuri Sungai Lubai yang membabitkan tempoh perjalanan kira-kira sejam daripada Medamit.

Sekolah yang dibuka pada 1964 dan pernah ditutup pada 1976 sebelum dibuka semula setahun selepas itu hanya mempunyai 30 orang murid yang dibimbing oleh 11 orang guru dengan bantuan seorang staf sokongan.

Namun hari ini, SK Ulu Lubai mencatatkan sejarah gemilang apabila muncul sebagai sekolah pedalaman pertama yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sekali gus memberi tamparan kepada sekolah lain yang berada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Menyifatkannya sebagai amat luar biasa, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kejayaan SK Ulu Lubai itu membuktikan bahawa semua sekolah mampu cemerlang tanpa mengira lokasinya.

"Kalau kita lihat persekitaran dan infrastruktur, ia amat sederhana, bangunannya sudah lama dan diperbuat daripada kayu, tidaklah seelok bangunan-bangunan konkrit di sesetengah sekolah.

"Tetapi kerana kepimpinan sekolah itu adalah cemerlang dan guru-guru serta ibu bapa bersama murid-murid amat komited untuk bantu membangunkan sekolah ini, berlaku lonjakan yang amat besar," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan senarai 23 SBT Kohort Dua di SK Ulu Lubai di sini hari ini.

Muhyiddin juga melontarkan cabaran kepada sekolah-sekolah lain dengan berkata:

"Jika SK Ulu Lubai yang begini keadaannya boleh muncul yang terbaik, saya tidak fikir sekolah lain tidak mampu."

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin berkata, SK Ulu Lubai telah menunjukkan pencapaian akademik yang amat cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan keputusan 100 peratus lulus sejak 2006 sehingga sekarang, menjadikannya sebagai sekolah terbaik di negeri ini.

Katanya, dalam penarafan sekolah kebangsaan, SK Ulu Lubai menduduki tempat ke-54 pada 2009 dan ia melonjak ke tempat pertama pada 2010.

Beliau memberitahu, lebih membanggakan, sekolah itu memenangi dua anugerah peringkat antarabangsa iaitu johan Commonwealth Education Good Practice Award 2009 dan finalis anugerah yang sama daripada Sekretariat Komanwel dan Kerajaan Malaysia.

Menurutnya, pencapaian terkini ialah pencalonan UNESCO Educational International Best Practices 2010.

"Di samping itu, ia juga berjaya merangkul lima anugerah peringkat kebangsaan, 14 di peringkat negeri dan 46 di peringkat bahagian dan daerah," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin begitu teruja dengan inisiatif SK Ulu Lubai yang bergerak aktif dalam mewujudkan program jalinan dan jaringan dengan institusi pendidikan luar negara.

Katanya, jaringan itu bukan calang-calang kerana pada 2009 dan 2010, mereka mewujudkan jaringan dengan University Bristol, United Kingdom (UK), Jin Shan Primary School, Singapura dan Kingsford Community School serta Deptford Green School, masing-masing di UK.

Sementara itu, Guru Besar SK Ulu Lubai sejak 1998, Jaul Bunyau berkata, kunci kepada kejayaan sekolah itu ialah kerjasama daripada ibu-bapa kerana merekalah yang paling dekat dengan sekolah berkenaan,

Katanya, mengharapkan orang luar untuk membantu sekolah di pedalaman seperti SK Ulu Lubai amat sukar kerana keadaannya terpencil manakala prasarananya amat terhad.

"Jadi kita kena libatkan komuniti setempat dan guru-guru pula tidak boleh terpisah dengan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut meluang masa melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tutoh Apoh di Long Panai, Baram yang 12 hingga 18 kali ditenggelami banjir dalam masa setahun kerana terletak bersebelahan Sungai Apoh.

Sekolah berkenaan pada awal tahun lalu pernah mendapat perhatian beliau yang kemudian mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk pembinaan bangunan baru di tempat lebih tinggi.

Muhyiddin sewaktu berucap dalam majlis bersama penghuni rumah Panjang Uma Beluvuh bersebelahan SMK Tutoh Apoh menjelaskan bangunan baru sekolah itu akan dibina dalam masa terdekat dan ia dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan.

Beliau menjelaskan, nilai sebenar projek yang kini berada dalam peringkat melantik perunding reka bentuk itu hanyalah RM30 juta.

"Kita juga sudah membayar ganti rugi pengambilan balik tanah membabitkan keluasan 12 hektar," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM2,000 bagi setiap 117 pintu Rumah Panjang Uma Beluvoh bagi tujuan penyelenggaraan kediaman.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs