Tuesday, March 8, 2011

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak umum 9 projek baru Program Transformasi Ekonomi, 8 Mac 2011







Sumber berita : Bernama, 8 Mac 2011, Kuala Lumpur

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini 8 Mac 2011, mengumumkan sembilan lagi projek baru di bawah Program Transformasi Ekonomi, ETP, yang bakal menarik pelaburan berjumlah RM2.26 bilion, termasuk menjimatkan dan menjana RM11.71 bilion dalam Pendapatan Negara Kasar (PNK) menjelang 2020.



Antara projek itu ialah meningkatkan kemudahan pelancongan di Pulau Pangkor, memajukan sistem pengairan, meningkatkan pengeluaran padi dan menambah pendapatan petani, penanaman beras wangi, projek-projek penjagaan kesihatan, nilai tambah huluan produk kelapa sawit serta kawasan tenaga diperbaharui di Nilai, termasuk kemudahan tenaga solar dan biogas.

"Projek-projek ini merupakan bukti yang Program Transformasi Ekonomi (ETP) kekal pada tahap yang tinggi," kata beliau semasa mengumumkan perkembangan terkini Program Transformasi Ekonomi di Kuala Lumpur, Selasa, 8 Mac 2011.



Apa yang lebih penting, kata beliau ialah ETP kini mempunyai kesan pemangkin ketara terhadap ekonomi sebagaimana yang dilihat daripada komitmen pelaburan daripada Projek Permulaan (EPP) dan asas projek serta kenaikan yang dijangka dalam pendapatan sebenar.

9 projek itu digabungkan dengan 11 projek yang sebelum ini diumumkan Najib, yang juga Menteri Kewangan, akan menghasilkan RM14.74 bilion dalam pelaburan, RM20 bilion dalam PNK dan 88,354 lagi pekerjaan.



Mendahului senarai projek-projek baru itu ialah EPP di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam pelancongan, di mana Globalports Sdn Bhd, Bina Puri Properties Sdn Bhd dan Marina Sanctuary Resort Sdn Bhd akan melabur RM600 juta untuk membangunkan infrastruktur pelabuhan laut penumpang kapal layar, kapal pesiaran dan feri dan pembangunan hartanah tebingan laut bagi projek Marina Island Pangkor International Resort & Entertainment dikenali sebagai Island 3.

Ia dijangka menjana PNK sebanyak RM9 bilion pada 2020, katanya.

Najib berkata penjagaan kesihatan, sebagai industri global, merupakan antara industri yang berkembang pantas dan dinamik dalam dunia serta cepat menjadi enjin pertumbuhan pertumbuhan ekonomi.

Dengan memanfaatkan potensi ini, General Electric Malaysia, bersama rakan kongsi tempatan termasuk REDtone International, melabur dalam teknologi dan kepakaran bagi membangunkan hab teleradiologi.



Dengan menghubungkan pakar radiologi sektor awam dan swasta di Malaysia dengan grid teleradiologi, hab ini akan bertindak untuk mengedar semula laporan kerja di Malaysia dan membina kapasiti yang akan menjana PNK dengan menyediakan perkhidmatan teleradiologi dari luar negara.

Najib berkata projek berkenaan dijangka memberi sumbangan PNK sebanyak RM540 juta dan mewujudkan 1,500 pekerjaan menjelang 2020.

Di bawah inisiatif NKEA dalam pertanian untuk menaikkan skala dan mengukuhkan pengeluaran padi di kawasan Muda di Kedah, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan melabur RM99.6 juta tahun ini bagi meningkatkan pengairan di kawasan itu serta memberi galakan kepada pekebun kecil supaya memajak tanah mereka atau bersetuju untuk diuruskan atas dasar perkongsian keuntungan kepada pengusaha yang lebih besar.




Pendapatan petani dijangka meningkat antara 30 dan 50 peratus menjelang 2020, dengan sumbangan PNK sebanyak RM1 bilion, katanya.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membangunkan dua varieti beras wangi, yang berkongsi banyak ciri-ciri dengan beras wangi dari luar.

Sebanyak RM26.6 juta pelaburan dijangka diterima daripada perkongsian awam-swasta antara MARDI dan Infoculture Sdn Bhd bagi memperkenalkan penanaman beras wangi ini di kawasan bukan kawasan jelapang padi dan memasarkannya sebagai beras organik dan beras wangi.

Inisiatif ini akan mempunyai kesan PNK sebanyak RM133 juta menjelang 2020, kata beliau.

Najib turut mengumumkan pelaburan sebanyak RM416.2 juta diterajui oleh Emery Oleochemicals Group dalam tiga sub-projek bagi menghasilkan minyak pelincir bio dan aditif polimer mesra alam serta bahan surfaktan untuk produk rumah dan kesejahteraan diri.

Ia akan menyumbang RM155 juta dalam PNK pada 2020, mewujudkan 86 jawatan baru.
Emery Oleochemicals merupakan usaha sama 50:50 antara Sime Darby Plantation dan PTT Chemical International, anak syarikat milik penuh dan cabang pelaburan antarabangsa PTT Chemicals PCL dari Thailand.



Dalam bidang elektrik dan elektronik, QAV Technologies Sdn Bhd akan melabur RM12 juta untuk membangunkan pusat pensijilan cahaya keadaan pepejal dan diode pemancar cahaya di Pulau Pinang.

Kemudahan ini, yang pertama di luar Amerika Syarikat, akan dapat melaksanakan ujian pensijilan mengikut pensijilan Institut Standard Nasional Amerika (ANSI) dan akan mengesahkan pematuhan produk Malaysia kepada standard global.

Ia dijangka menarik pelanggan dari Malaysia, bahagian lain di Asia, AS dan Eropah, dan memebrikan kesan PNK sebanyak RM510 juta menjelang 2020.

Bagi kecekapan tenaga, Faber Group Bhd akan menerajui projek yang dicadangkan terhadap Sistem Pengurusan Prestasi Tenaga (EPMS) dan memulakan audit tenaga di lima hospital awam bagi memastikan penggunaan kecekapan tenaga.

Projek ini dianggarkan menghasilkan RM18 juta penjimatan menjelang 2020.

Bagi tenaga diperbaharui, Cypark Resources Bhd melabur RM94.29 juta untuk membina kawasan tenaga diperbaharui di tapak pelupusan seluas 26 hektar di Pajam, Nilai.



Mengandungi loji janakuasa biogas 2-Megawatt(MW) dan kemudahan tenaga solar berkuasa 8-MW, kawasan berkenaan dijangka menjana PNK sebanyak RM12.16 juta pada 2020.

Najib berkata kejayaan projek perintis ini boleh menjadi pemangkin kepada projek yang sama di 31 tapak pelupusan lain di Semenanjung Malaysia.

Pihak berkuasa tempatan, di mana lokasi tapak pelupusan itu, akan dapat memanfaatkan sumber baru pendapatan dan diperlukan berbuat demikian atas dasar tender terbuka.



Sementara itu, Najib berkata sasaran pelaburan swasta sebanyak RM83 bilion tahun ini dijangka tercapai.

Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, purata sasaran pelaburan swasta adalah sebanyak RM115 bilion setahun.

Ia meliputi pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang memerlukan bantuan dan FDI dan DDI yang tidak memerlukan bantuan.

"Secara menyeluruhnya, jumlah peningkatan potensi pelaburan ialah sebanyak RM127 bilion.

"Komitmen pelaburan bertahap tinggi ini membuktikan Malaysia menawarkan ekosistem pelaburan yang kondusif, yang menggalakkan pelaburan sektor swasta".

Najib berkata walaupun kesemua pelaburan berpotensi ini dirancang untuk tahun ini, tidak semuanya mungkin direalisasikan.

Bagaimanapun, berdasarkan peningkatan dalam pelaburan yang dirancang itu, Najib yakin sasaran pelaburan bernilai RM83 bilion untuk 2011 adalah dalam capaian.

Bagi mengesan FDI dan DDI yang tidak memerlukan bantuan, 5,835 surat kajian dihantar kepada syarikat tempatan dan asing di Malaysia, dan kira-kira 30 peratus memberikan respons yang mengatakan mereka komited untuk melabur RM50.6 bilion tahun ini.

Dengan mengambil kira pelaburan EPP berjumlah RM76 bilion tahun ini, jumlah potensi pelabur untuk 2011 dianggarkan bernilai RM127 bilion.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs