Tuesday, June 21, 2011

Lajim Ukin - Gugurkan Pemimpin yang bermasalah






teks / foto : Jaafar Abdul Wahid

Umno perlu mengambil tindakan drastik terhadap pemimpin yang bermasalah dan membawa masalah kepada parti itu yang boleh menjejaskan tumpuan parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin berkata, ini kerana ada beberapa pemimpin di semua peringkat yang membawa masalah kepada Umno sehingga ada kalanya boleh merosakkan imej dan perpaduan dalam parti itu sendiri.

“Saya mencadangkan kepada pucuk pimpinan khususnya Presiden dan Timbalan Presiden Umno supaya mengambil tindakan secara drastik kepada pemimpin yang bermasalah kepada parti sebelum menghadapi pilihanraya umum akan datang” katanya .

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort berkata demikian dalam ucapannya pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian itu yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Baru, Beaufort, Sabah pada Sabtu 28 Jun 2011.

“Ini kerana jika pemimpin yang bermasalah ini masih ada lagi dalam parti maka ketika menghadapi parti pembangkang pada PRU ke-13 ini, mereka ini juga akan menjadi musuh dalam selimut,”katanya.

Menurutnya, ianya juga akan menimbulkan masalah kepada parti dan pemimpin tertinggi parti sehingga boleh menjejaskan tumpuan kepada strategi parti untuk memenangi PRU ke-13.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan bahawa beliau juga bertanggungjawab sepenuhnya atas cadangan itu.

“Jika pada perkiraan pucuk pimpinan parti saya juga akan tergolong daripada pemimpin yang bermasalah dan membawa masalah kepada parti saya bersedia menerima dengan hati yang terbuka serta dengan keikhlasan menerima apa sahaja tindakan yang diambil oleh parti kepada saya,”ujarnya.

Menurut beliau ada pemimpin tidak dapat membudayakan konsep kerja berpasukan di peringkat bahagian termasuk menjalin hubungan serta kerjasama dalam setiap program yang diatur oleh parti dimana keadaan ini juga boleh menjejaskan kekuatan parti .

Dalam pada itu, Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, hampir RM1 bilion telah disalurkan oleh kerajaan Persekutuan dan Kerajan Negeri bagi tempoh 5 tahun sehingga sekarang di kawasan kawasan Parlimen Beaufort.

Ia katanya, semata-mata bagi melestarikan program pembangunan di kawasan itu, antaranya ialah projek pembinaan rumah PPRT yang bernilai RM3.6 juta di Beaufort dan RM3.2 juta di Kuala Penyu, Projek Jalan Luar Bandar dianggarkan RM207 juta dan projek menaik taraf bekalan air bernilai RM30 juta.

“Beberapa projek akan dibina dalam jangka masa terdekat ini, seperti Sekolah Menengah Agama Islam bernilai RM40 juta,”katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs