Wednesday, August 3, 2011

Kolej Yayasan Sabah raikan 20 tahun penubuhan



Kolej Yayasan Sabah, KYS telah meraikan Majlis Sambutan Ulang Tahun
Ke 20 penubuhannya di Grand Ballroom, 1 Borneo, Kota Kinabalu pada 29 Julai 2011 dalam suasana penuh meriah dan nostalgia.

Pengarah Yayasan Sabah, Tan Sri Datu Khalil Datu Hj. Jamalul yang juga Pengerusi, Lembaga Pengelola KYS menjadi tetamu kehormat malam itu.

Turut hadir sama dua bekas Ketua Eksekutifnya, Dr. Liddy Sallun dan Jainuddin Jabidin.

Satu acara memotong kek ulang tahun telah disempurnakan oleh Khalil bersama-sama dengan ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Eksekutif, Dr. Dg. Aminah Ali sebagai tanda memperingati pencapaian KYS sepanjang 20 tahun penubuhannya.







Dalam ucapannya, Khalil merakamkan rasa penghargaannya di atas 20 tahun
pencapaian Kolej yang telah berjaya mengharungi berbagai cabaran dan
rintangan dan mampu terus berkembang dengan mencapai enrolmen pelajar
yang semakin bertambah.

Pada masa sama, KYS juga berupaya mengukuhkan kedudukannya
dalam sector pendidikan di negeri Sabah yang kini semakin mencabar.

“Ini adalah satu satu testimoni pencapaian Kolej yang sangat
membanggakan,” katanya.

Beliau menambah bahawa pertalian erat di antara Yayasan Sabah dan
Kolej Yayasan Sabah yang sekian lama terjalin telah mencapai satu lagi
mercu kejayaan dengan kelulusan yang diberikan oleh Ketua Menteri
merangkap Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah untuk
membolehkan KYS memiliki sebuah bangunan akademik yang baru.

Ini membolehkan KYS dapat terus berkembang dan menyumbang dengan lebih luas lagi dalam pembangunan pendidikan dan sosial di negeri Sabah khasnya dan Malaysia
amnya.

Sempena majlis tersebut yang bertemakan, “A Legacy of Achievements”
penyampaian anugerah telah disampaikan oleh Tetamu Kehormat, Tan Sri Khalil kepada dua mantan Ketua Ekeskutif KYS dan beberapa staf sebagai tanda penghargaan
ke atas sumbangan dan prestasi baik yang telah disumbangkan sepanjang
perkhidmatan mereka dengan KYS.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan seni tarian dan
nyanyian oleh staf dan pelajar KYS serta artis undangan Jimmy Palikat
dan Clarice J. Matha.

Acara kemuncak menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang pakaian terbaik berdasarkan tema “Black n Red Nite” kepada Noor Arfiah Ampong (wanita) dan Roger Kumin (lelaki).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs