Thursday, March 22, 2012

Gadis Indonesia berusia 19 tahun dipaksa jadi pekerja seks di Kota Kinabalu


Gadis berusia 19 tahun dari Indonesia ini dipaksa menjadi pelacur oleh sindiket pemerdagangan manusia di Kota Kinabalu dan terpaksa melayan sehingga 10 lelaki setiap hari meskipun dalam keadaan haid. Namun dia diselamatkan Polis Sabah pada 21 Februari 2012 lalu.

Laporan berita ini dipetik dari Borneo Post Online, 22 Februari 2012.

KOTA KINABALU: “Saya pernah cuba lari dari melakukan kerja ini tetapi gagal kerana dihalang bos saya, oleh itu saya terpaksa melakukannya untuk meneruskan kehidupan,” demikian kata seorang daripada empat wanita yang berjaya diselamatkan selepas dipercayai dipaksa menjadi pelacur oleh empat bapa ayam di sebuah premis tidak bernombor di tingkat satu, Jalan Haji Seman, di Kota Kinabalu, Sabah pada 21 Februari 2012.

Menurut gadis berumur 19 tahun yang berasal dari Indonesia itu, pada mulanya dia telah dijanjikan pekerjaan sebagai pelayan restoran oleh seorang lelaki yang dikenalinya di Tawau.

Bagaimanapun, setibanya mangsa di sini bulan lepas, lelaki terbabit dikatakan telah memaksa mangsa menjadi pelacur manakala janji untuk memberikan pekerjaan sebagai pelayan restoran hanya janji kosong.

“Pada mulanya, saya tidak mahu buat (memberi khidmat seks) tetapi selepas dipaksa oleh bos, saya terpaksa buat juga dan sehingga sekarang (semalam) itulah cara saya mendapatkan duit,” katanya sebak ketika ditemui pemberita selepas pasukan polis membuat serbuan di bilik sewa terbabit pada 21 Februari 2012.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi oleh cawangan D7 (Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang diketuai Inspektor Er Sheau Jia berkenaan, 4 bapa ayam termasuk ketua mereka diberkas manakala 4 lagi wanita yang dipaksa menjadi pelacur diselamatkan.

Menurutnya, setiap hari dia terpaksa melayan 3 hingga 4 pelanggan tetapi pernah sekali dia juga melayan 10 lelaki dalam masa 1 hari.

Tambahnya, bayaran yang diterima dari setiap pelanggan adalah antara RM100 dan RM150 tetapi wang yang diterimanya itu akan diserahkan terus kepada bapa ayam sebelum dia diberikan sedikit ‘tips’.

“Saya betul-betul rasa terseksa sepanjang melakukan kerja ini, malah pernah ketika saya datang bulan (haid) saya dipaksa juga melakukannya,” katanya.

Gadis itu juga berharap pihak berkuasa memahami masalah yang dihadapinya kerana dia mendakwa pekerjaan sebagai pelacur bukan kehendaknya tetapi dipaksa selepas ditipu.

Kasihan Gadis itu. Dia antara ratusan ataupun ribuan gadis yang pernah menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia. Modus operandi sindiket ini adalah menjanjikan pekerjaan dengan gaji bagus di Malaysia, namun apabila tiba di Malaysia, mereka dipaksa menjadi pekerja seks.

Jika enggan berbuat demikian, gadis gadis ini akan dipukul dan dicederakan serta juga tidak diberi makan dan minuman.

Kejam sungguh sindiket itu.

Malaysia sudah memperkenalkan akta Anti Penyeludupan Migran dan Penyeludupan Manusia 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga 1 juta ringgit kepada pesalah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs