Friday, September 28, 2012

Raja Bola Malaysia, Tan Sri Ghani Minhat meninggalkan kita, Jumaat 28 September 2012

Raja Bola Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Minhat, meninggalkan kita pada jam 10.35 pagi Jumaat 28 September 2012 pada usia 76 tahun, akibat komplikasi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara, Isnin lalu, 24 September 2012.


Kelihatan Tan Sri Ghani Minhat, (kiri sekali) menyaksikan lagenda bolasepak Belanda, Johan Cryuff di satu majlis di Kuala Lumpur pada 3 September lalu.





Ini kehilangan besar kedua ikon sukan negara dalam tempoh kurang 2 bulan, selepas pemergian Datuk Punch Gunalan, lagenda badminton negara, pada 15 Ogos 2012.

Allahyarham Tan Sri Ghani Minhat, adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Malaysia, menewaskan pemain hebat lain seperti Allahyarham Supermokh, Mokhtar Dahari, Matlan Marjan, James Wong, Zainal Abidin Hassan, Namat Abdullah dan Dollah Salleh.

Sepanjang kariernya, Allahyarham Ghani Minhat menjaringkan 106 gol termasuk 11 gol dijaringkan ketika Malaysia menewaskan Filipina 15-1.

Tan Sri Ghani Minhat, Raja Bola Malaysia dilahirkan pada 23 Disember 1935 di Rantau, Negeri Sembilan. Tan Sri Abdul Ghani aktif dalam sukan bola sepak sejak tahun 1954 iaitu dengan menyertai pasukan Selangor Rangers dan Kelab Polis Depot.

Pada tahun 1957 Allahyarham mewakili Malaysia dalam Pestabola Merdeka. Perlawanan pertama Pestabola tersebut diadakan di Stadium Merdeka pada sebelah malam dan keesokannya berlangsung upacara Kemerdekaan Negara 31 Ogos 1957.

Sebagai seorang inside forward yang licik dan lincah pada tahun 1960an, permainannya di depan gol sering menggerunkaan pihak lawan, selain dapat mengeksploitasikan setiap peluang yang diberikan.

Kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh setiap peminat bola sepak ialah apabila bersama rakan-rakan sepasukan berjaya merampas Piala Merdeka semasa Ulangtahun Pertandingan Piala Merdeka yang pertama pada tahun 1959.

Semasa permainan hampir tamat, Tan Sri Ghani melakukan tendangan sudut yang cantik untuk ditanduk masuk oleh Arthur Koh bagi gol kemenangan Malaya, 2-1 mengalahkan Hong Kong.

Pada tahun 1962, Tan Sri Abdul Ghani ditawarkan oleh Cardiff City, sebuah pasukan Liga England sebagai pemain profesional tetapi beliau menolak, sebaliknya menjelajah England dan Eropah selama empat bulan.

Sepanjang penglibatan sebagai pemain bola sepak negara, Allahyarham pernah menghadiri Kursus Jurulatih FIFA dan berjaya memiliki Sijil jurulatih yang diiktiraf oleh badan bola sepak berprestij itu dan menjadi jurulatih kebangsaan dari tahun 1971 hingga 1976.

Pernah menjadi jurulatih di peringkat kelab di samping menguruskan perniagaannya, Sistem Letronik Maju Sdn. Bhd.

Bagi mengenang jasa dan sumbangan dalam bidang sukan tanah air, Allahyarham dianugerahkan Olahragawan Kebangsaan pada tahun 1959 dan Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
TopOfBlogs